MAKLUMAN TERKINI


> KEPADA MANA-MANA PESERTA KURSUS BEKAM DAN IRIDOLOGI 2010 YANG BELUM MENUNTUT SIJIL PENYERTAAN, ANDA BOLEHLAH MELAKUKAN DEMIKIAN MULAI SEKARANG, SILA RUJUK PAUTAN INI, LINK.


______________________________________________________________________________

KONSEP EMPAT UNSUR




بسم الله الرحمن الرحيم

Konsep empat unsur yang dibincangkan di sini adalah berdasarkan Perubatan Ibnu Sina atau lebih dikenali sebagai Perubatan Unani (Unani Medicine), ia juga dibincangkan secara jelas dalam falsafah Yunani dan falsafah Islam.

Unsur atau arkan (أركان) merupakan struktur paling kecil di alam dunia ini. Ia tidak boleh dibahagikan atau dipecahkan lagi kepada bahagian atau juzuk yang lebih kecil. Walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa partikel elemen (elementary particle) seperti kuark, lepton dan boson merupakan struktur yang paling kecil, saya merasakan bahawa partikel-partikel tersebut akan berjaya dipecahkan kepada struktur yang lebih kecil.

Saintis terdahulu menyatakan bahawa atom merupakan struktur terkecil, namun hari ini perkara tersebut terbukti salah, menyatakan partikel elemen sebagai struktur paling kecil merupakan satu kesimpulan yang agak melulu.

Sains moden belum menemui arkan, boleh jadi terdapat berpuluh-puluh atau beratus-ratus peringkat lagi selepas partikel elemen sebelum saintis berjaya menemui arkan atau unsur ini, atau mungkin juga unsur ini akan terus menjadi misteri dan tidak ditemui oleh sesiapapun, hanya mampu dibincangkan secara konsep tanpa dibuktikan secara empirik.




JENIS UNSUR

Terdapat empat jenis unsur yang menjadi asas bagi segala struktur lain yang lebih besar, penggabungan dan kepelbagaian jumlah keempat-empat unsur ini menghasilkan pelbagai struktur yang lebih besar dan saling berbeza. Empat unsur tersebut ialah unsur tanah, air, angin dan api.

1. Unsur tanah merupakan unsur yang berada di tengah-tengah atau bulatan pertama. Ia bersifat sejuk    dan kering.

2. Unsur air merupakan unsur yang berada pada bulatan kedua iaitu di antara unsur bumi dan angin. Ia bersifat sejuk dan basah.

3. Unsur angin merupakan unsur yang berada pada bulatan ketiga iaitu di antara unsur air dan api. Ia bersifat panas dan basah.

4.Unsur api merupakan unsur yang berada pada bulatan keempat iaitu selepas unsur angin. Ia bersifat panas dan kering.

Setiap unsur ini mempunyai kedudukannya yang tersendiri pada bulatannya yang dikenali juga dengan nama falak atau orbit, sebarang perubahan kedudukannya yang disebabkan oleh tenaga daripada luar akan menyebabkan unsur itu kembali ke tempat asalnya menurut susunan berat bagi setiap unsur. Susunan berat bagi unsur-unsur mengikut tertib paling ringan dimulakan dengan unsur api, kemudian unsur angin, unsur air dan akhirnya unsur tanah sebagai unsur paling berat.


Unsur Kelima

     Selain daripada empat unsur yang telah disebutkan, terdapat konsep unsur yang kelima, iaitu satu unsur yang sangat seimbang dan tidak mengalami perubahan atau kemusnahan. Disebabkan keseimbangannya itu, ia tidak diambil kira secara khusus dalam Perubatan Unani, sebaliknya ia dikaitkan dengan alam atau makhluq lain yang bersifat mulia dan tinggi. Unsur kelima ini lebih dikenali sebagai “aeter” (aether). Ia sering dikaitkan dengan kesempurnaan, roh dan semangat.

Dalam Perubatan Ayurveda (Ayurvedic Medicine), terdapat juga konsep lima unsur. Unsurnya adalah sama seperti unsur dalam Perubatan Unani dan ditambah dengan unsur akasha (aeter) sebagai unsur yang kelima. Dalam Fizik Partikel, sifat keseimbangan ini sering dikaitkan dengan boson Higgs yang dikenali juga sebagai Partikel Tuhan (God Particle), boson ini dikatakan seimbang dan tiada caj atau neutral, walau bagaimanapun boson ini belum berjaya dibuktikan.

Suatu masa dahulu, misteri unsur kelima ini pernah juga dikaitkan dengan tenaga “orgon” (orgone energy). Sistem Perubatan Cina Tradisional (Traditional Chinese Medicine) juga menggunakan konsep lima unsur, tetapi ada sedikit perbezaan dengan konsep lima unsur dalam Perubatan Unani atau Ayurveda.




SIFAT UNSUR

     Seperti yang telah dijelaskan, setiap unsur mempunyai dua sifat. Dua sifat yang ada pada unsur dinamakan sebagai “kualiti primer”, iaitu panas, sejuk, kering dan basah. Sifat panas dan sejuk dikenali juga sebagai sifat aktif, manakala sifat kering dan basah dikenali juga sebagai  sifat pasif. Hal ini adalah kerana sifat aktif menghasilkan sifat pasif, sifat panas menghasilkan sifat kering, manakala sifat sejuk menghasilkan sifat basah. Jadi sifat panas dan sejuk merupakan sifat yang paling utama dan paling memberi kesan kepada tubuh.

Apabila unsur bergabung dan menghasilkan struktur baru yang lebih besar, maka struktur baru itu akan mempunyai sifatnya yang tersendiri. Namun sifat struktur baru itu bergantung kepada sifat unsur-unsur yang membentuk struktur baru itu. Sifat struktur baru yang lebih besar ini dinamakan sebagai “mizaj” (مزاج).

Kepelbagaian bilangan unsur dalam membentuk struktur baru yang lebih besar menghasilkan kepelbagaian jenis mizaj, terdapat sembilan jenis mizaj yang boleh terhasil iaitu;

1. Seimbang
2. Panas
3. Sejuk
4. Kering
5. Basah
6. Panas Dan Kering
7. Panas Dan Basah
8. Sejuk Dan Kering
9. Sejuk Dan Basah

Keseimbangan mizaj bukanlah bererti wujud satu sifat baru yang dinamakan “seimbang” tanpa mempunyai sifat panas, sejuk, basah atau kering. Tetapi ia bermaksud keseimbangan antara keempat-empat sifat tersebut. Walau bagaimanapun, menurut Aristotel, unsur kelima iaitu aeter mempunyai mizaj “seimbang” tanpa mempunyai salah satu sifat yang empat.

Keseimbangan mizaj bagi manusia dari sudut perubatan tidak semestinya bermaksud keseimbangan mutlak antara keempat-empat sifat tersebut, bahkan keseimbangan mizaj bagi manusia secara umum ialah panas dan basah. Kerana itulah dikatakan bahawa penduduk di kawasan khatulistiwa yang mengalami cuaca panas dan lembap sepanjang tahun sebagai golongan yang paling seimbang mizajnya jika dibandingkan dengan penduduk-penduduk di kawasan lain.

Selain faktor kawasan dan cuaca, keseimbangan mizaj seseorang individu juga ditentukan oleh jantina, pekerjaan, bangsa, umur, akhlaq dan pelbagai perkara lain. Oleh itu, perawat perlu peka dengan semua aspek diri pesakit agar perawat tersebut dapat memberikan rawatan yang sesuai menurut keadaan dan keperluan semasa.

     Menurut Imam Az-Zahabi dalam kitabnya At-Tibb An-Nabawi, beliau menyatakan bahawa mizaj yang paling seimbang dalam kalangan haiwan ialah manusia (haiwan natiq / speaking animal). Mizaj yang paling seimbang dalam kalangan manusia ialah para mukmin, kemudian para nabi, kemudian para rasul, kemudian para rasul Ulul ‘Azmi yang lima, kemudian Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W, Baginda memiliki sebaik-baik mizaj tubuh kerana mizaj tubuh dipengaruhi oleh akhlaq seseorang itu. Jadi, Baginda yang memiliki sebaik-baik akhlaq, maka selayaknya Baginda jugalah yang mempunyai sebaik-baik mizaj dalam kalangan makhluq-makhluq Allah.


Surah Nau’iyyah

Selain daripada sifat-sifat ini, gabungan pelbagai unsur juga boleh menghasilkan karakter (‘aradh) jenis lain iaitu “surah nau’iyyah” (صورة نوعية)Surah nau’iyyah ialah bentuk susunan unsur. Analoginya adalah seperti penyusunan ketulan-ketulan bata dengan cara yang berbeza. Konsep ini sama seperti dalam ilmu kimia moden di mana pelbagai atom boleh bergabung dan tersusun dalam pelbagai bentuk.

Perbezaan bentuk susunan unsur atau atom memainkan peranan yang sangat penting dalam ilmu perubatan khususnya dalam bidang farmakologi, farmakognosi dan herbologi, kerana setiap perbezaan bentuk susunan memberikan kesan yang berbeza kepada tubuh.



KAITAN ARKAN DAN MIZAJ DENGAN BEBERAPA PERKARA

Dalam Perubatan Unani, kefahaman mengenai keempat-empat unsur ini memainkan peranan yang sangat penting dalam merawat, kerana konsep struktur yang paling kecil pada masa dahulu bergantung sepenuhnya pada konsep arkan ini. Setelah muncul ilmu sains moden khususnya ilmu kimia, maka peranan konsep unsur semakin kurang mendapat perhatian, sebaliknya proses merawat banyak bergantung pada konsep kimia, khususnya berkaitan struktur kimia ubat-ubatan.

Walaubagaimanapun, konsep unsur masih relevan untuk digunapakai kerana banyak persamaan konsep ini dengan beberapa konsep sains moden. Antaranya ialah konsep panas-sejuk dan basah-kering.

Sifat panas boleh kita gantikan dengan konsep tenaga (energy) atau caj negatif manakala sifat sejuk boleh digantikan dengan konsep daya (force) atau caj positif. Basah dan kering pula merujuk kepada konsep kepadatan, ketumpatan atau tekanan, sifat basah mewakili ketumpatan (dense), sifat kering mewakili kelonggaran (loose).

     Konsep empat unsur menepati konsep keadaan jirim (states of matter) iaitu keadaan pepejal mewakili unsur tanah, keadaan cecair mewakili unsur air, keadaan gas mewakili unsur angin dan keadaan plasma mewakili unsur api.



      Konsep empat unsur juga menepati konsep keperluan tubuh manusia iaitu haba dan sinaran UV mewakili unsur api, oksigen mewakili unsur angin, air minuman mewakili unsur air dan nutrien mewakili unsur tanah.

   Selain itu, lapisan-lapisan sfera bumi juga menepati konsep empat unsur, lapisan tanah yang bersifat pepejal mewakili unsur tanah dan dinamakan litosfera, lapisan air laut dan sungai yang bersifat cecair mewakili unsur air dan dinamakan hidrosfera, lapisan udara yang bersifat gas mewakili unsur angin dan dinamakan atmosfera, dan lapisan yang paling luar iaitu lapisan ion yang bersifat plasma mewakili unsur api dan dinamakan ionosfera.



Wallahu'alam.
Read more >>

PENANGGUHAN AKTIVITI DAN PROGRAM






Memandangkan peperiksaan akan bermula tidak lama lagi, maka KHK dengan rasminya mengumumkan penangguhan sebarang urusan atau program buat sementara waktu.

Kepada yang berminat dengan Perubatan JAWI, KHK akan cuba menganjurkan program Iridologi selepas tamat peperiksaan. Jadi, anda bolehlah menantikan pengumuman program tersebut selepas ini, insyaAllah.

Para Eksekutif KHK mengucapkan,

"SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN, MAAT TAUFIQ WAN NAJAH."




Read more >>

PROGRAM PADA WAKTU KULIAH






Dengan ini pihak KHK ingin mengumumkan pendirian KHK mengenai program pada waktu kuliah. Setakat ini KHK secara rasmi tidak akan menganjurkan program atau menerima jemputan program pada waktu kuliah. Ini bererti program KHK hanya diadakan pada waktu cuti mingguan iaitu Jumaat dan Sabtu, atau pada waktu cuti panjang pertengahan tahun dan akhir tahun, atau pada hari kuliah tetapi selepas kuliah iaitu selepas waktu Asar dan ke atas.

Jadi, kepada mana-mana pihak yang ingin menjemput KHK untuk sebarang program, sila pastikan ia bukan pada waktu kuliah. Mana-mana individu atau kumpulan yang ada kaitan dengan KHK, secara rasmi atau tidak, kemudian mengadakan program pada waktu kuliah tanpa pengetahuan dan keizinan KHK, maka KHK tidak akan bertanggungjawab dan tiada kaitan dengan program tersebut. Wallahu'alam.



Read more >>

PAMERAN KHK DI RUMAH WILAYAH PERSEKUTUAN




Sukacita dimaklumkan bahawa KHK akan mengadakan pameran di Rumah Wilayah Persekutuan bersempena Hari Keluarga BKAN Wilayah Persekutuan. Butirannya seperti berikut;

Tarikh : 4,5 & 6 Mac 2012
Tempat : Rumah Wilayah Persekutuan, Hayyu Sabi'
Waktu : Bermula selepas Asar


Antara yang menarik di pameran KHK ialah;

1. Pameran KHK dan HPA
2. Pameran buku-buku perawatan JAWI dan tokoh perubatan Islam.
3. Khidmat diagnos tapak tangan dan iridologi.
4. Akupunktur dan bekam.
5. Jualan alat rawatan.

Bagi yang berkelapangan, anda dijemput hadir ke sana untuk melihat pameran atau berhubung secara terus dengan pihak KHK untuk sebarang urusan, insyaAllah.


.
Read more >>

KESAN PLASEBO DAN UBAT



Bismillahirrahmanirrahim.

Apakah sebenarnya yang menjadi wasilah atau mekanisme utama yang membawa seseorang itu kepada kesembuhan? Adakah ia hanya disebabkan oleh ubat-ubatan? Adakah ia hanya disebabkan oleh herba-herba? Atau adakah kesembuhan itu hanyalah suatu kebetulan?

Untuk menjawab persoalan ini, pertamanya kita perlu kembali kepada aqidah yang sebenar, iaitu Allah sebagai Pentadbir dan Penentu sebenar bagi segala sesuatu yang berlaku. Seterusnya, Allah tidak menjadikan pergerakan alam ini sebagai sesuatu yang rawak atau kebetulan tanpa sebab dan asbab yang khusus sepertimana yang didakwa oleh para pendokong teori evolusi. Oleh itu, sudah menjadi sunnatullah bahawa wujud sebab bagi segala sesuatu yang berlaku meskipun pada hakikatnya ia ditentukan oleh Allah yang kemudiannya dimanifestasikan ke alam ini sebagai memenuhi hukum sebab dan akibat yang telah Allah tetapkan.

Terdapat satu kisah yang menarik dalam hal ini, sebuah kisah yang dinyatakan oleh Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitab "At-Tibb An-Nabawi", ia merupakan dialog antara Nabi Ibrahim dengan Allah Tuhan sekalian alam.

Nabi Ibrahim : Wahai Tuhanku, daripada siapakah penyakit?
Allah : Daripada Aku.
Nabi Ibrahim : Maka daripada siapakah ubatnya?
Allah : Daripada Aku.
Nabi Ibrahim : Maka apa gunanya perawat?
Allah : Ia merupakan orang yang pada tangannya diturunkan ubat.

Persoalan yang seterusnya ialah apakah sebab-sebab yang telah Allah tentukan sebagai wasilah atau mekanisme bagi sesuatu yang berlaku khususnya dalam konteks perbincangan kita iaitu kesembuhan. Sesetengah orang hanya menerima kaedah mencari kesembuhan dengan ubat-ubatan kerana mungkin mereka menyangka bahawa kesembuhan itu mestilah dengan sebab yang zahir pada pancaindera yang lima. Namun, pemikiran sebegini bukanlah sesuatu yang benar, bahkan tertolak menurut kajian sains sekalipun.

Suatu masa dahulu, mungkin ramai yang menyangka bahawa sesuatu yang abstrak dan tidak dapat dikesan oleh pancaindera, tidak mampu memberi kesan kepada sesuatu yang zahir atau material. Tetapi, sains sudah membuktikan bahawa kesan perkara yang abstrak terhadap perkara material seperti tubuh manusia, bukanlah sesuatu yang mustahil, bahkan adakalanya ia boleh memberi kesan kepada perkara material mengatasi kesan ubat-ubatan. Inilah yang dikatakan sebagai kesan plasebo.




"Kesan plasebo" merupakan istilah bahasa inggeris yang wujud secara berpasangan iaitu "placebo effect" dan "nocebo effect". Placebo effect bererti "kesan positif yang berlaku apabila seseorang itu berfikiran positif", manakala nocebo effect pula bererti "kesan negatif yang berlaku apabila seseorang itu berfikiran negatif". Perkara ini telah dibuktikan dengan jayanya dalam bidang farmakologi khususnya, dan beberapa bidang lain secara amnya.

Dalam bidang farmakologi, apabila sesuatu bahan baru ingin diuji kesannya, dua orang pesakit akan diuji dengan cara salah seorang diberi bahan baru tersebut, manakala seorang lagi diberi bahan biasa yang bukan ubat tanpa kedua-dua pesakit tersebut diberitahu apakah bahan sebenar yang mereka terima. Hasilnya, sama ada kesan plasebo yang terhasil daripada bahan biasa tadi menyamai kesan ubat, atau kurang, atau lebih baik. Dalam bidang fisiologi pula, seseorang yang tertekan emosinya boleh menyebabkan sistem endokrin menghasilkan hormon kortisol yang boleh menyebabkan lambatnya proses kesembuhan, atau yang lebih teruk ialah menyebabkan penyakit jangkitan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Hormon ini mempunyai banyak kesan negatif, antaranya ialah membuatkan sel-sel imuniti tidak berkeliaran di seluruh tubuh, sebaliknya 'bersembunyi' di dalam kelenjar limfatik, kemudian sebarang bakteria yang sedia ada pada tubuh atau yang baru datang akan dapat menyerang tubuh tanpa dilawan oleh sistem imuniti.

Perkara ini bersesuaian dengan firman Allah dalam sebuah hadis qudsi;

" Aku adalah berdasarkan apa sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Jika ia bersangka baik, maka itulah untuknya. Dan jika ia bersangka buruk, maka itulah untuknya..."

(Hadis Qudsi Riwayat Ahmad)

Maka dengan sebab itu, tidak hairanlah jika Perubatan JAWI meyakini bahawa 90% daripada kesembuhan adalah disebabkan oleh faktor abstrak seperti spiritual, mental dan emosi. Manakala 10% yang berbaki barulah disandarkan kepada faktor material seperti ubat-ubatan atau rawatan. Jelas sekali di sini tentang kepentingan penjagaan aspek spiritual seperti ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai amalan soleh khususnya solat, doa, Al-Quran, zikir, selawat dan sedekah.

Walaubagaimanapun, terdapat sebahagian orang yang memperlekeh atau memandang rendah kepada kesan plasebo, bahkan menganggap kesembuhan dan rawatan yang bersifat plasebo sebagai bukanlah jenis rawatan yang sebenar kerana tiada ukuran zahir yang boleh diukur dengan tepat dosnya.

Pemikiran sebegini bolehlah kita sanggah dengan mengatakan bahawa tujuan rawatan yang sebenar bukanlah untuk menggunakan ubatan zahir yang boleh diukur dosnya, tetapi adalah untuk mendapatkan kesembuhan. Oleh itu, apa-apa sahaja yang boleh membawa kepada kesembuhan bolehlah diterima sebagai rawatan selagimana ia tidak bertentangan dengan syarak.

Golongan ini juga sebenarnya boleh dikatakan sebagai kurang rasional kerana apa perlunya lagi untuk mengambil ubatan material sekiranya 'ubatan' rohani sudah cukup untuk merawat, bahkan ia adalah percuma, mudah dan mampu dilakukan oleh semua orang.

Dalam hal ini, peranan seorang perawat tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai pembantu kepada sistem sedia ada yang wujud dalam tubuh pesakit yang dinamakan oleh ahli perubatan masa kini sebagai 'homeostasis' atau self healing, seperti yang dikatakan oleh pakar perubatan terdahulu iaitu Galen;

"Seorang perawat adalah pembantu kepada sistem tubuh yang sedia ada."

Ini bererti tubuh kita kita sudah mempunyai sistem rawatan yang sangat sempurna untuk membuang racun atau melawan jangkitan. Perkara ini terbukti dengan sangat jelas dalam kajian mengenai sistem imuniti, sistem autonomik dan juga sistem metabolisme tubuh. Bahkan, saya juga meyakini bahawa sebagaimana tekanan perasaan boleh membawa kepada penyakit melalui 'racun semulajadi' kortisol, begitu jugalah tubuh dapat menghasilkan 'ubat semulajadi' apabila seseorang itu berada dalam ketenangan dan kebahagiaan. Hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil, bahkan kajian sains masih banyak cacatnya dan mungkin akan menemui mekanisme rawatan semulajadi suatu hari nanti, insyaAllah.

Peranan perawat dalam hal ini sangat besar, khususnya dalam membangkitkan keyakinan kepada pesakit dengan meletakkan harapan kepada Allah Asy-Syafi, dan untuk membuatkan pesakit tenang dengan melahirkan rasa redha terhadap musibah yang menimpa. Seorang perawat yang pakar ialah perawat yang mampu membawa kepada kesembuhan hanya dengan mengawal psikologi dan rohani pesakit atau pengurusan diri yang asas, jika tidak mampu, barulah berpindah kepada ubatan material. Ini bersesuaian dengan apa yang telah dikatakan oleh Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitabnya "At-Tib An-Nabawi" ;

"Para perawat telah bersepakat bahawa selagimana rawatan boleh dilakukan dengan makanan, maka tidak perlu kepada ubatan, selagimana boleh dilakukan dengan ubatan yang ringkas, maka tidak perlu kepada ubatan yang kompleks."


Allahumma Ya Syafi, isyfi mardhona wa mardhol muslimin...


Wallahu'alam.


-Muhammad Nasiruddin bin Mohd Sobri-



Read more >>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...